Latar belakang Pertempuran_Ankara

Pada tahun 1370, Timur telah memerintah sebahagian besar kawasan Asia Tengah dan beliau mula merancang untuk memulakan perluasan kuasanya. Pada tahun 1378, beliau telah membantu Tokhtamysh untuk merebut takhta Golden Horde. Timur seterusnya meneruskan serangan ke atas kawasan Asia Tengah. Pada tahun 1381, beliau memulakan kempen penaklukan Iran sebelum ia berjaya diduduki pada tahun 1386. Sebahagian besar kawasan Caucasus pula berada di bawah naungannya pada tiga tahun kemudian. Penguasaan Timur ke atas Caucasus bermakna kawasan penguasannya berjiran dengan Golden Horde sekali gus konflik antara beliau dengan Tokhtamysh tidak dapat dielakkan. Antara tahun 1391 hingga 1395, Tokhtamysh telah tertewas dan beliau telah kehilangan takhtanya.

Sementara itu, situasi di barat berubah dengan drastiknya. Kerajaan Uthmaniyyah telah menguasai Beylik Anatolia pada tahun 1398 dan 1399. Penguasa kawasan yang tunduk kepada pemerintahan Uthmaniyyah telah mencari perlindungan di bawah kekuasaan Timur. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang telah digulingkan di Iran dan Iraq oleh Timur telah menuju ke kerajaan Uthmaniyyah untuk mendapatkan perlindungan. Pengaruh kekuasaan Bayezid dan Timur kini terletak di kawasan sempadan sesama mereka.

Timur tidak ingin memulakan peperangan dengan sekutu Muslim. Kedua-dua pemimpin ini saling mengutuskan surat dan meluahkan respon yang berbeza. Timur menuju ke barat dan menakluk Armenia dan Georgia pada tahun 1400. Ribuan orang telah terkorban. Timur kemudiannya bimbang sekiranya Kesultanan Mamluk Mesir dan Syria akan bekerjasama dengan Uthmaniyyah. Jadi, beliau telah menawan kota Damsyik dan Aleppo untuk memotong jalur perhubungan antara kedua-dua kerajaan ini. Pada tahun 1401, Timur telah merampas kota Sivas dari kerajaan Uthmaniyyah dan menjadikan ia sebagai markas ketenteraan.